Latar Belakang


Sejarah Penubuhan JPBW

Jabatan Perancang Bandar & Wilayah Sabah (JPBW) telah ditubuhkan pada 02 Januari 1980 sebagai sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Kerajaan Tampatan & Perumahan. Sebelum itu, Badan yang bertanggungjawab dalam skop perancangan bandar dan desa di Sabah hanya merupakan salah satu unit dibawah seliaan Jabatan Tanah dan Ukur sebelum dinaiktaraf menjadi sebuah jabatan pada tarikh tersebut. Penubuhan JPBW berasaskan kepada Ordinan Perancang Bandar dan Desa (Sabah Cap 141). Dengan hanya mempunyai kekuatan seramai 21 kakitangan sahaja pada awal penubuhan. Kini, jumlah kakitangan meningkat dan hampir mencecah 100 orang kakitangan.

Pada awalnya, Ibu pejabat JPBW ditempatkan di bangunan asal Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB), yang merupakan salah satu agensi yang bernaung di bawah kementerian sama. Pada tahun 1985, ibu pejabat JPBW telah berpindah ke bangunan Wisma Tun Fuad Stephens yang baru siap pembinaannya . Lokasi ibu pejabat JPBW masih kekal di bangunan tersebut sehingga kini. Sejak Penubuhan Jabatan ini tiga pejabat cawangan telah beroperasi iaitu Cawangan Sandakan, Cawangan Tawau dan Cawangan Keningau bagi memberikan perkhidmatan perancangan bandar yang lebih menyeluruh di Sabah.